• 2025-07-10 06:21 PM

SHAH ALAM:** Kerajaan Selangor mengadakan sesi libat urus bersama Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi membincangkan isu kawal selia air di negeri ini.

Pertemuan itu dihadiri oleh Pengurusan Air Selangor (Air Selangor) sempena kunjungan Pengerusi SPAN Datuk Abdul Kadir Mohd Din ke pejabat Menteri Besar hari ini.

Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata perbincangan tertumpu kepada usaha meningkatkan kualiti air dan menangani krisis bekalan di Selangor.

“Ini semua demi memastikan perkhidmatan yang lebih cekap dan berkualiti kepada rakyat menerusi penerapan teknologi dalam pengurusan air,“ katanya menerusi hantaran di Facebook.

Amirudin turut diberi penerangan mengenai aspek operasi dan kawal selia yang perlu ditambah baik. Pertemuan itu juga membuka ruang kerjasama dalam inovasi, latihan, pendidikan pengguna serta penyelarasan dengan agenda nasional seperti AIR 2040.

“Moga kerjasama strategik ini memberi impak positif kepada sistem bekalan air di Selangor, demi menjamin kesejahteraan rakyat dan kelestarian masa depan,“ katanya.

Semalam, SPAN memaklumkan ia telah menerima permohonan semakan semula tarif bekalan air daripada operator di sepuluh negeri, termasuk Selangor. Namun, semua permohonan masih dalam proses semakan dan belum dimuktamadkan. - Bernama