KUCHING: Kerajaan bersetuju untuk menjadikan Sarawak sebagai penganjur bersama Sukan SEA apabila tiba giliran negara menjadi tuan rumah temasya sukan serantau itu pada 2027 nanti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keupayaan Sarawak untuk menjadikan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 sebagai antara penganjuran temasya sukan yang terbaik yang pernah diadakan, membuatkan beliau bersetuju memberikan tanggungjawab sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027.

“Dengan keupayaan Sarawak menganjur sukan di antara yang terbaik yang pernah kita adakan, saya bagi pihak kerajaan Malaysia bersetuju untuk Sarawak bersama dengan kerajaan Malaysia menganjurkan Sukan SEA 2027,“ katanya semasa berucap di Majlis Penutupan SUKMA 2024 di Stadium Perpaduan di sini, malam ini.

Perdana Menteri berkata walaupun beliau berada di New Delhi, India sewaktu majlis pembukaan temasya sukan dwitahunan itu 17 Ogos lepas, beliau tetap mengikuti perkembangan temasya itu.

“Suasana hebat, dari perasmian yang cukup hebat, ada yang catat (di laman sosial) boleh menandingi perasmian Sukan Olimpik Paris. Hebat Sarawak ni.. Ini baru semangat Segulai Sejalai,“ katanya merujuk kepada frasa Iban yang bermaksud “Seiring Sejalan”.

Sebelum ini Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah beberapa kali menyatakan kesediaan negeri itu menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027, selain menyatakan SUKMA 2024 ini sebagai medan untuk menguji keupayaannya menganjurkan temasya sukan peringkat lebih tinggi.

Sementara itu Anwar berkata persiapan perlu dibuat mulai dari sekarang, dengan Kementerian Belia dan Sukan bersama badan-badan sukan diminta memberi tumpuan kepada usaha meningkatkan mutu dan prestasi para olahragawan.

Beliau berkata para atlet ini juga tidak harus diheret ke dalam masalah-masalah yang boleh menggugat prestasi mereka.

“Kita telah bersetuju menganjurkan sukan peringkat antarabangsa dan dengan kerjasama kerajaan negeri Sarawak di Kuching ini.. maka persiapan itu perlu melibatkan seluruh jentera kerajaan dan juga persatuan-persatuan.

“Anak-anak yang terlibat harus berlatih dari sekarang kerana kita mahu kalau pun tidak jadi juara..(berikan) prestasi yang sangat baik dalam Sukan SEA 2027,“ tambahnya.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh, dan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah adalah antara yang hadir di Majlis Penutupan SUKMA 2024 malam ini.