• 2025-10-15 09:58 AM

KUALA LUMPUR: Kerajaan dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah menerima penyelesaian tunai berjumlah kira-kira RM20.71 bilion setakat ini.

Penyelesaian tersebut dicapai dengan tiga institusi kewangan iaitu Goldman Sachs sebanyak AS$3.9 bilion atau RM16.48 bilion.

AmBank Group menyumbang RM2.83 bilion manakala JP Morgan (Switzerland) Ltd membayar RM1.4 bilion.

Kementerian Kewangan memaklumkan semua hasil penyelesaian tunai telah diterima sepenuhnya.

Wang tersebut telah dimasukkan ke dalam Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset di bawah kendalian kementerian.

Goldman Sachs Group Inc. telah memfailkan Permohonan Timbang Tara di London Court of International Arbitration pada 11 Oktober 2023.

Permohonan itu adalah terhadap Kerajaan Malaysia berhubung pertikaian obligasi di bawah Perjanjian Penyelesaian 18 Ogos 2020.

Pasukan Perundangan Kerajaan Malaysia sedang mengendalikan Prosiding Timbang Tara tersebut.

Pasukan ini terdiri daripada Jabatan Peguam Negara dan peguam-peguam Inggeris yang dilantik.

Maklumat terperinci tidak dapat didedahkan memandangkan pihak-pihak terikat dengan obligasi kerahsiaan yang ketat.

Kementerian memberikan jawapan ini melalui jawapan bertulis di Dewan Rakyat kepada Yeo Bee Yin (PH-Puchong) mengenai status pemulihan aset 1MDB. – Bernama