KUALA LUMPUR: Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pertemuan rasmi bersama Kerajaan Wilayah Fukui, Jepun adalah langkah strategik untuk memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun dalam bidang pertanian, keterjaminan makanan dan teknologi agro.

Menerusi catatan di Facebook hari ini, Mohamad berkata pertemuan itu membuka ruang untuk pertukaran teknologi, latihan belia dan inovasi pintar yang boleh dimanfaatkan oleh Malaysia.

“Kerjasama ini penting, ketika dunia berdepan pelbagai cabaran seperti perubahan iklim, krisis bekalan makanan dan kenaikan kos input pertanian, kita tak boleh berdiam diri.

“Kita mesti proaktif, menimba ilmu, membina rangkaian dan memanfaatkan teknologi terbaik untuk menjamin keterjaminan makanan negara,” katanya,

Mohamad berkata dalam semangat Malaysia MADANI, beliau mahu sektor agromakanan negara bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga mampan, lestari dan mampu menjamin masa depan petani, nelayan dan penternak.

Beliau berkata pertemuan tersebut menjadi titik tolak kepada kerjasama yang lebih erat antara dua sahabat lama, Malaysia dan Jepun demi mencapai pertanian yang lebih hijau, moden dan sejahtera.