Your Title

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kerjasama erat dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ), telah berjaya memulihkan wang sebanyak US$20 juta (RM90 juta) berhubung dana 1MDB yang berkaitan projek tenaga solar di Malaysia.

SPRM dalam satu kenyataan memaklumkan, wang itu melibatkan Frank White Jr. iaitu seorang ahli perniagaan dan rakan kongsi firma pelaburan DuSable Capital Management LLC (DuSable).

“White Jr. secara sukarela bersetuju untuk menyerahkan wang tersebut kepada DOJ, selepas mendapati bahawa dana yang diterima oleh DuSable berasal daripada sumber yang dikaitkan dengan dana 1MDB yang disalahgunakan, meskipun beliau tidak menyedari sumber dana itu pada waktu penerimaan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan SPRM itu memaklumkan sehingga kini, sebanyak RM29.73 bilion telah berjaya dipulangkan kepada kantung kewangan kerajaan Malaysia dan ini tidak termasuk US$20 juta yang dipulihkan hasil usaha SPRM dan FBI baru-baru ini.

Menurut kenyataan itu SPRM dan kerajaan Malaysia komited untuk meneruskan usaha pemulihan aset berkaitan 1MDB.

Selain itu, SPRM juga sedang giat mendapatkan semula aset yang telah diselewengkan daripada negara Kuwait, Hong Kong, United Kingdom dan beberapa buah negara di Eropah.

“Usaha ini akan terus diperhebat melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa untuk memastikan aset-aset yang disalahgunakan dapat dipulihkan, demi kepentingan rakyat dan negara,” menurut kenyataan itu.