CYBERJAYA: Sebuah syarikat pemaju Monarch Lodge Development Sdn Bhd didenda RM60,000 Jumaat lepas kerana didapati merosakkan kemudahan rangkaian milik Telekom Malaysia Bhd (TM).

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dalam kenyataan hari ini berkata ia selepas Hakim Mahkamah Sesyen Seremban Diana Md Razali mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Monarch Lodge Development Sdn Bhd didakwa atas kesalahan secara sengaja mengorek tanah dan merosakkan kemudahan rangkaian iaitu sesalur sembilan laluan dan enam laluan milik TM di Kilometer 8.2, Jalan Seremban-Port Dickson, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Syarikat itu dituduh di bawah Seksyen 235, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut MCMC siasatan mendapati kerosakan kepada kemudahan rangkaian TM itu berpunca daripada kerja-kerja pengorekan yang dilakukan oleh syarikat pemaju berkenaan, yang berkaitan dengan projek pembangunan Bandar Pelancongan Kota Lukut di Port Dickson.

Akibat kerosakan kepada kemudahan rangkaian TM itu, ia telah menjejaskan perkhidmatan kepada pelanggan-pelanggan TM di sekitar kawasan berkenaan.

“MCMC memandang serius perkara ini dan mengingatkan setiap syarikat pemaju yang menjalankan kerja pembinaan untuk menitikberatkan langkah-langkah keselamatan seperti mana yang terkandung di bawah Garis Panduan Pengalihan dan Pemasangan Semula Utiliti Dalam Pelaksanaan Program dan Projek Kerajaan.

“Garis Panduan ini bertujuan untuk memberi penjelasan berhubung skop pematuhan, kaedah pembiayaan, kaedah pelaksanaan dan pemakaian prosedur kerja terkini bagi kerja-kerja pengalihan dan pemasangan semula utiliti di semua tapak projek di dalam rizab Persekutuan dan negeri yang terlibat,“ menurut kenyataan itu.

MCMC berkata garis panduan itu juga menjamin perlindungan ke atas kemudahan utiliti awam terutamanya kemudahan rangkaian.

“Selain itu, MCMC juga menyarankan agar pihak kontraktor mahupun syarikat pemaju menggunakan medium ‘Call Before You Dig (CBYD)’ bagi tujuan kerja-kerja pembinaan yang hendak dijalankan apabila melibatkan kemudahan rangkaian.

“Melalui initiatif ini, kadar kemungkinan kerosakan ke atas kemudahan rangkaian dan gangguan perkhidmatan dapat dikurangkan kepada tahap yang lebih minimum,“ menurut kenyataan itu.