• 2025-08-22 01:17 PM

KUALA LUMPUR: Polis telah mengambil keterangan seramai 19 individu bagi membantu siasatan berkaitan kes anak lelaki bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Rafizi Ramli yang diserang di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 13 Ogos lepas.

Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata mereka yang dipanggil termasuk ahli keluarga Rafizi, pemandu, pekerja serta beberapa saksi lain.

“Selain itu, polis telah mengambil dan sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian,“ katanya pada sidang media di Bukit Aman di sini hari ini.

Pada masa sama, Mohd Khalid berkata polis masih menunggu laporan kimia daripada pihak hospital berkaitan cecair yang disuntik kepada anak Rafizi.

Beliau turut memaklumkan kanak-kanak berusia 12 tahun itu berada dalam keadaan stabil, dengan doktor terus menjalankan pemantauan kesihatan terhadapnya.

Sementara itu, ketika diminta mengulas dakwaan Rafizi bahawa isterinya menerima pesanan berbaur ugutan, Mohd Khalid berkata siasatan mendapati nombor telefon yang digunakan didaftarkan atas nama seorang warga asing, dan polis masih berusaha mengenal pasti individu terbabit.

Baru-baru ini, media melaporkan anak lelaki Rafizi diserang kira-kira 2 petang di kawasan menurunkan penumpang sebuah pusat beli-belah di Putrajaya.

Rafizi mendakwa serangan itu melibatkan dua lelaki berpakaian hitam serta bertopi keledar yang menaiki sebuah motosikal dengan seorang daripadanya bertindak mengheret anaknya sebelum mencucuk sesuatu menggunakan jarum suntikan - BERNAMA