KUALA LUMPUR: Pihak pendakwaan mendakwa kes hasutan membabitkan bekas Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak melibatkan persoalan undang-undang yang sukar atau luar biasa.
Pendakwa raya selaku responden menyatakan demikian dalam afidavit balasan bagi menjawab permohonan Muhyiddin untuk merujuk persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan berhubung kes hasutan yang dihadapi Pengerusi Perikatan Nasional itu.
Menerusi afidavit itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani berkata terdapat pelbagai persoalan undang-undang melibatkan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan di bawah akta itu telah diputuskan oleh mahkamah atasan sebelum ini.
Razali berkata isu dibangkitkan berkenaan ucapan, pertuturan atau perbincangan berkaitan Fasal 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan kononnya, termasuk dalam skop Seksyen 3(2) yang dibaca bersama Seksyen 3(3) Akta Hasutan 1948, adalah suatu isu pembelaan.
“Isu itu boleh dibangkitkan oleh Muhyiddin semasa perbicaraan dan sewajarnya diputuskan oleh hakim yang mendengar kes itu selepas semua saksi-saksi responden (pendakwa raya) selesai memberi keterangan,” katanya dalam afidavit itu.
Razali berkata isu itu bersifat akademik memandangkan perbicaraan masih belum bermula dan tiada sebarang keterangan yang telah dikemukakan untuk pertimbangan mahkamah.
Beliau berkata Razali, proses pendakwaan dan pembuktian bagi kesalahan di bawah akta itu dijalankan selaras dengan prinsip undang-undang jenayah yang berkuat kuasa di negara ini serta mematuhi Perlembagaan Persekutuan.
“Bukanlah dalam kepentingan keadilan untuk kes ini dirujuk ke Mahkamah Persekutuan. Oleh itu, saya mohon agar notis usul pemohon (Muhyiddin) ditolak oleh mahkamah ini,” katanya.
Pada prosiding hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan 28 Ogos ini bagi pendengaran permohonan Muhyiddin untuk merujuk persoalan undang-undang berkaitan Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan.
Hakim Muhammad Jamil menetapkan tarikh itu pada pengurusan kes yang dihadiri peguam Joshua Tay mewakili Muhyiddin dan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Razali Che Ani.
Pada 4 April lepas, Muhyiddin, 78, memfailkan permohonan untuk merujuk persoalan undang-undang berhubung Akta Hasutan 1948 ke Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan peruntukan tertentu dalam akta berkenaan.
Muhyiddin sebelum ini mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan ketika berkempen sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu, antara 10.30 hingga 11.50 malam pada 14 Ogos 2024.
Kenyataan itu berkait dakwaan beliau tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri, walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.
Muhyiddin didakwa di bawah Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 4 (1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.