• 2025-06-17 03:00 PM

KUALA TERENGGANU: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan pemandu wanita yang didakwa atas pertuduhan membunuh tiga penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dalam kemalangan pada 9 Okt tahun lepas diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin.

Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani dalam keputusannya berkata beliau mendapati hujah dikemukakan pihak peguam iaitu pelanggaran tersebut adalah tidak disengajakan dan tertuduh, Norizan Ismail, 50, juga terbabas ke dalam longkang ketika kejadian, adalah munasabah.

“Seperti nahas kapal terbang, takkanlah juruterbang bawa (pesawat) (sebab) nak bunuh orang. Mungkin dia macam itu juga,” katanya.

Mahkamah turut menetapkan syarat tambahan bagi jaminan tersebut iaitu tertuduh perlu melapor diri dua bulan sekali di Balai Polis Dungun; tertuduh tidak dibenarkan memandu sebarang kenderaan (kereta, motosikal dan basikal) dan penjamin atau suami tertuduh hendaklah memastikan kunci kenderaan tidak boleh diakses atau memberi kunci kenderaan kepada tertuduh.

Syarat lain ialah tertuduh tidak dibenarkan keluar rumah kecuali dengan kehadiran suaminya; tertuduh hendaklah mendapatkan rawatan di hospital berkaitan dan tertuduh juga tidak dibenarkan mengganggu saksi-saksi yang terlibat dalam kes ini.

Sekiranya tertuduh melanggar mana-mana syarat yang ditetapkan, jaminan akan terbatal secara automatik dan wang jaminan akan dirampas.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Khairuddin Idris menawarkan jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin namun beliau memohon agar permohonan jaminan ke atas tertuduh ditolak atas alasan mahkamah perlu mengambil kira kemungkinan berlaku kesalahan lain.

Sementara itu, peguam Mohd Shahir Mat Jusoh yang mewakili tertuduh memaklumkan bahawa selain mempunyai temu janji di sebuah hospital di Kuala Lumpur, Norizan juga sedang mendapatkan rawatan alternatif.

Pada 15 Okt 2024, Norizan dihadapkan ke mahkamah atas pertuduhan membunuh Muhammad Akmal Md Tukirim, 25, Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20, dan Khairil Anuar Jamaluddin, 20, mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Dia juga didakwa cuba membunuh Muhammad Ammar Danish Mohammad Ridhuan, 20, sehingga menyebabkan mangsa cedera mengikut Seksyen 307(1) Kanun Keseksaan.

Sebelum ini, mahkamah memutuskan tertuduh dihantar ke Hospital Permai untuk menjalani rawatan psikiatri dan keputusan laporan menunjukkan dia boleh dibicarakan.