• 2025-07-12 10:22 AM

KUALA TERENGGANU: Program MADANI Rakyat (PMR) 2025 Terengganu berakhir hari ini dengan kehadiran pengunjung melebihi jangkaan. Majlis penutupan disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pasar Besar Kedai Payang.

Program selama tiga hari ini menjadi platform penting bagi Kerajaan Perpaduan untuk mendekati rakyat dan menyampaikan maklumat dasar serta perkhidmatan kerajaan secara langsung. Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

PMR 2025 menampilkan 24 reruai kementerian, 127 perkhidmatan touchpoint, dan tujuh perkhidmatan bergerak. Antara aktiviti utama termasuk penyerahan peruntukan penyenggaraan Jalan Persekutuan bagi tahun 2025 dan pemberian Peranti MADANI (PERMAI) kepada pelajar cemerlang SPM 2024 dari keluarga eKasih.

Selain itu, pelbagai program berasaskan lokaliti seperti Karnival Candat Sotong, Explorace Pasar Payang, dan Sukan Rakyat turut diadakan. Nilai murni dan warisan tempatan diterapkan melalui aktiviti seperti Terengganu Bermunajat dan pertandingan memasak bubur Asyura.

Menurut laporan, kehadiran pengunjung pada dua hari pertama mencecah 50,407 orang, melebihi sasaran awal 25,000. Program ini bertemakan “Pembangunan MADANI, Rakyat Sejahtera” dan dianjurkan oleh Pejabat Perdana Menteri melalui PACU dengan kerjasama KKR dan ICU JPM.- BERNAMA