• 2025-07-12 10:07 AM

PETALING JAYA: Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM) meraih pengiktirafan ke-48 daripada Malaysia Book of Records (MBR) menerusi kejayaan menerbitkan jujukan genom bagi spesies meranti tembaga (Rubroshorea leprosula), yang pertama seumpamanya di dunia.

Sijil pengiktirafan bagi rekod ‘First to Publish the Genome Sequence of a Dipterocarp Species (Rubroshorea leprosula)’ disampaikan oleh Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching kepada Timbalan Ketua Pengarah (Penyelidikan) FRIM Dr Norwati Muhammad pada majlis ‘MBR Night of Achievers 2025’ yang berlangsung di sini malam tadi.

Majlis berkenaan merupakan acara istimewa yang diadakan sekali dalam sedekad bagi menghimpunkan para penerima rekod dan meraikan pencapaian luar biasa rakyat Malaysia dalam pelbagai bidang.

Turut hadir Ketua Makmal Genetik FRIM Dr Kevin Ng Kit Seong yang menyediakan dokumentasi bagi rekod terkini, Pengarah Bioteknologi Perhutanan FRIM Dr Lee Soon Leong, Ketua Makmal Penyelidikan Biomolekul FRIM Dr R.K Getha, pakar orkid Ong Poh Teck, Ketua Komunikasi Korporat FRIM Toh An Nee dan Pegawai Media FRIM Lim Chung Lu.

Menurut kenyataan FRIM, penerbitan jujukan genom bagi Rubroshorea leprosula, satu daripada spesies Dipterokarpa utama di Malaysia, merupakan pencapaian penting dalam usaha institut itu menerajui penyelidikan hutan tropika, khususnya dalam bidang bioteknologi dan genomik.

“Kajian ini dijangka memberi impak besar terhadap pembangunan ilmu biodiversiti, pemuliharaan sumber genetik serta strategi pengurusan hutan yang lebih mampan,” menurut kenyataan itu.

Pengiktirafan ini juga mencerminkan komitmen FRIM dalam memperkukuh kecemerlangan penyelidikan dan inovasi dalam bidang perhutanan serta sains semula jadi, sekali gus mengangkat nama institusi dan Malaysia di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Dr Kevin Ng berkata kajian tersebut memberi tumpuan kepada mengenal pasti genom meranti tembaga yang terdapat pada kayu balak di Malaysia.

“Seperti manusia yang memiliki genom manusia, dan kelapa sawit dengan genomnya, kita belum memiliki maklumat genom bagi kayu balak. Maka ini adalah inisiatif FRIM untuk menghasilkan jujukan genom bagi kayu balak,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata kajian itu penting bagi membantu negara menghasilkan kayu balak berkualiti tinggi menerusi pemahaman terhadap gen tumbuhan berkenaan, termasuk ketahanan terhadap penyakit dan perubahan cuaca.

“Seperti yang kita tahu, kayu balak merupakan komoditi penting negara. Justeru, komitmen FRIM adalah untuk menjana pengetahuan bagi meningkatkan kualiti kayu balak di negara ini,” katanya.

Antara pengiktirafan lain yang pernah diterima FRIM daripada MBR termasuk ‘Largest Ex-situ Collection of Isolated Actinobacteria’; ‘First Malaysian Soil Scientist to be Selected as Panel for Food and Agriculture Organization (FAO) Intergovernmental Technical Panel of Soils (ITPS)’ dan ‘Longest Phalaenopsis cornu-cervi Orchid Flower Stalk’.- BERNAMA