Your Title

IPOH: Pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa pegawai kanan polis DSP Mohd Nazri Abdul Razak yang didakwa menyebabkan kematian seorang pelajar sekolah telah melanggar mangsa pada had laju tinggi tanpa sebarang tindakan evasif, pada 15 Dis tahun lepas.

Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Afzainizam Abdul Aziz berkata had laju yang dibenarkan di kawasan kejadian ialah 30 kilometer perjam sahaja dan perbuatan tertuduh yang melanggar Muhammad Zaharif Affendi Muhd Zamrie, 17, telah menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

“Perbuatan tertuduh melanggar si mati dilakukan dengan niat hendak menyebabkan kecederaan kepada si mati dan kecederaan terbabit cukup pada lazimnya bagi menyebabkan kematian si mati.

“Tertuduh melanggar si mati dengan mengetahui bahawa perbuatan itu adalah berbahaya sehingga mungkin menyebabkan kematian atau sesuatu kecederaan yang menyebabkan kematian,“ katanya di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Bhupindar Singh Gucharan Singh Preet.

Beliau berkata demikian semasa membacakan ucapan pembukaan pada hari pertama perbicaraan kes Mohd Nazri, 44, yang didakwa menyebabkan kematian Muhammad Zaharif Affendi di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Pekeliling Meru Indah berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Jati di sini antara 11.45 pagi hingga 12.32 tengah hari pada 15 Dis 2023.

Afzainizam berkata pihak pendakwaan juga akan mengemukakan keterangan bahawa tertuduh ialah seorang pemandu kenderaan jenis Perodua Ativa dan mangsa merupakan penunggang motosikal jenis Yamaha semasa kejadian seperti yang dipertuduhkan.

“Tertuduh semasa kejadian sedang memandu kenderaan terbabit pergi ke SMK Taman Jati dan si mati merupakan pelajar sekolah berkenaan.

“Tertuduh selepas pergi ke SMK Taman Jati telah keluar semula serta mengekori dan mengejar si mati dari kawasan persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah menuju ke kawasan Masjid Muhammad Al Fateh dan kawasan perumahan Taman Gerbang Meru,“ katanya.

Beliau berkata setibanya di hujung jalan kawasan perumahan Taman Gerbang Meru Indah, tertuduh dan si mati telah berpatah balik menuju ke laluan yang sama menghala semula ke kawasan persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah.

Afzainizam berkata selepas berpatah balik, tertuduh masih lagi mengekori dan mengejar si mati dan setibanya di persimpangan Jalan Taman Jati 1/Jalan Pekeliling Meru Indah, tertuduh telah melanggar dari bahagian belakang motosikal si mati.

“Akibat pelanggaran itu, si mati telah mengalami kecederaan dan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemeriksaan perubatan dan bedah siasat menunjukkan bahawa si mati telah mengalami kecederaan maut akibat pelanggaran terbabit,“ katanya.

Hari ini, pihak pendakwaan memanggil tiga saksi iaitu Konstabel Muhammad Azif Daniel Abdul Ghafar yang bertugas di kaunter aduan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh bagi memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Dua lagi saksi ialah penjaga stor barang kes Unit Siasatan Jenayah Terkelas (D5) IPD Ipoh Koperal Md Zahir Abdullah dan Pegawai Siasatan Forensik Makmal Polis Diraja Malaysia ASP Nur Fairuz Idris.

Turut dibawa ke mahkamah ialah 10 barang kes (ekshibit) termasuk sebuah kereta jenis Perodua Ativa dan motosikal jenis Yamaha.

Pendakwaan dikendalikan Afzainizam bersama TPR Nasrul Hadi Abdul Ghani, V. Suloshani dan Low Qin Hui manakala tertuduh diwakili peguam M. Athimulan, Datuk Mior Faridalathrash Wahid dan Aiman Hakim Kamaruzzaman.

Perbicaraan bersambung esok.