KANGAR: Dua anggota polis trafik berpangkat koperal yang direman tiga hari bermula Sabtu lepas bagi membantu siasatan kes memeras ugut dan memukul seorang lelaki warga Bangladesh pada Jumaat lepas, dibebaskan dengan jaminan polis semalam.

Ketua Polis Perlis Datuk Muhammad Abdul Halim berkata pada masa ini pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan kes sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

“Pihak polis sedang menunggu laporan perubatan untuk mengetahui tahap kecederaan dialami mangsa dalam menyiapkan sepenuhnya kertas siasatan ini,“ katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Muhammad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan dan Seksyen 323 Kanun Keseksaan.

Kedua-duanya yang berusia awal 30-an dilaporkan ditahan pada Jumaat selepas polis menerima laporan bahawa lelaki warga Bangladesh itu dipercayai dipukul dan diperas ugut oleh mereka dan nilai wang dipercayai diterima daripada peras ugut itu ialah sebanyak RM700.