KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekali lagi membuat sitaan barangan mewah berjumlah kira-kira RM16 juta berhubung kes penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang yang dipercayai milik seorang pemegang konsesi lebuh raya bergelar Tan Sri, semalam.
SPRM dalam kenyataan hari ini berkata sitaan di kediaman individu berkenaan di Bandar Tasik Selatan, Cheras, melibatkan 84 beg mewah bernilai kira-kira RM3 juta; 11 unit jam tangan berjenama (kira-kira RM1 juta); jongkong, syiling dan patung emas (kira-kira RM3 juta); berlian serta barangan kemas (kira-kira RM4 juta).
“Satu set alatan kasino berjenama mewah yang dianggarkan bernilai RM150,000 juga disita,” menurut kenyataan itu.
SPRM turut menemui sebuah bilik kebal rahsia yang merupakan tempat simpanan senjata dan peluru, namun tiada sitaan dilakukan kerana senjata berkenaan didaftarkan atas nama syarikat keselamatan milik individu terbabit.
Menurut SPRM, pasukan anggota pasukan taktikal Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) digunakan dalam proses penggeledahan kediaman tersebut kerana individu berkenaan disyaki menyimpan senjata-senjata di dalam sebuah bilik rahsia.
“SPRM mendapat maklumat terdapat bilik rahsia yang menyimpan barang-barang berharga termasuk senjata yang berkaitan dengan siasatan penyelewengan dana sukuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang di kediaman individu ini.
“Kehadiran pasukan ACTS adalah bertujuan menjaga keselamatan dan mengiringi pegawai serta barang-barang yang disita bagi dibawa pulang ke Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki dalam kenyataan sama mengesahkan penggeledahan dan sitaan itu dan tidak menolak kemungkinan akan ada lagi sitaan dilakukan berhubung kes tersebut.
Beliau berkata proses rakaman keterangan individu terbabit akan ditangguhkan pada satu tarikh lain disebabkan faktor kesihatannya.
Sebelum ini SPRM mengenal pasti jumlah sitaan bernilai RM143 juta bagi kes berkenaan antaranya membabitkan 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat (RM33 juta), kondominium mewah dan sebidang tanah (RM24.5 juta), serta sembilan unit kereta bernilai RM7.65 juta, selain 13 kereta yang masih belum diserahkan kepada pasukan siasatan.