KUALA LUMPUR: Malaysia melakar sejarah apabila Kuala Lumpur telah disenaraikan di tangga ke-18 dalam Laporan Ekosistem Startup Global 2025 oleh Startup Genome sekali gus meletakkannya dalam kedudukan 20 Ekosistem Startup Membangun Terbaik di dunia.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam kenyataan hari ini memaklumkan pencapaian itu mencerminkan hasil daripada pelaksanaan agenda inovasi nasional diselaras merangkumi program strategik pembangunan ekosistem startup serta usaha mobilisasi modal yang kini menunjukkan impak jelas.

Menurut kenyataan itu, GSER yang diiktiraf sebagai analisis ekosistem startup yang komprehensif di dunia telah menilai lebih daripada 300 bandar di lebih 100 negara dan menonjolkan perkembangan Kuala Lumpur dalam aspek prestasi, pembiayaan, pembangunan bakat serta capaian pasaran.

Menurut MOSTI, Startup Genome memaklumkan bahawa pembiayaan peringkat awal di Kuala Lumpur telah mencecah RM1.5 bilion (USD368 juta) dalam tempoh dua tahun setengah yang lepas iaitu peningkatan lebih 40 peratus berbanding laporan sebelumnya sekali gus mencerminkan tahap keyakinan pelabur yang semakin kukuh serta momentum pertumbuhan ekosistem yang memberangsangkan.

Kementerian itu menyebut peningkatan kedudukan global ini disumbangkan oleh ekosistem inovasi yang semakin matang serta dicetuskan oleh visi dasar jangka panjang Malaysia yang berlandaskan Ekonomi MADANI hasil daripada dua strategi nasional penting yang bertujuan meningkatkan landskap ekosistem startup iaitu Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) yang dilancarkan pada 2021 dan Pelan Tindakan KL20 yang diperkenal pada April 2024.

Menerusi kenyataan sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang memaklumkan bahawa pencapaian itu bukan sekadar pengiktirafan Kuala Lumpur di peringkat antarabangsa malah ia juga mencerminkan kemajuan sebenar yang telah kita capai di bawah rangka kerja Ekonomi MADANI di mana inovasi, keusahawanan dan teknologi menjadi pemacu kepada aspirasi kita ke arah sebuah ekonomi yang bernilai dan inklusif.

“Penyenaraian Kuala Lumpur dalam kedudukan 20 Ekosistem Startup Membangun Terbaik dunia merupakan pencapaian yang signifikan berbanding kedudukannya antara 21 hingga 30 bagi tempoh 2022 hingga 2024 sekali gus melambangkan momentum kukuh hasil daripada penyelarasan dasar dan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan.

“Antara pemacu utama kejayaan ini ialah peningkatan ketara dalam skor Capaian Pasaran iaitu melonjak daripada 2 kepada 10 yang menggambarkan keupayaan startup Malaysia yang semakin tinggi dalam menembusi pasaran antarabangsa, melangkaui sempadan domestik serta berdaya saing di peringkat global.

“Di bawah kepimpinan MOSTI serta Cradle Fund sebagai agensi pelaksana utama, kami bekerjasama erat dengan rakan-rakan strategik daripada sektor awam dan swasta bagi memperkukuh ekosistem startup negara. Usaha ini turut memberi tumpuan kepada pemerkasaan pengasas syarikat serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan utama bagi startup global, bakat berkemahiran tinggi dan pelabur,“ katanya.

Kenyataan itu memaklumkan dalam laporan tahun ini, Startup Genome menunjukkan beberapa pemacu utama yang menyumbang kepada peningkatan kedudukan Kuala Lumpur dalam landskap ekosistem startup global dan antara faktor utama yang diketengah ialah prestasi ekosistem, bakat tempatan, ketersediaan modal dan capaian pasaran.

Menurut kenyataan itu, dengan lebih daripada 4,400 startup telah disokong di bawah inisiatif nasional Tetingkap Tunggal MYStartup (www.mystartup.gov.my), ekosistem inovasi Malaysia kini berkembang pesat dan menuju ke tahap berprestasi tinggi.

Kerajaan kini mengarahkan fokusnya kepada matlamat seterusnya iaitu meletakkan Malaysia dalam kalangan 20 Ekosistem Startup Terbaik Dunia menjelang tahun 2030.