KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 pengamal media dari dalam dan luar negara dijangka membanjiri Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL), di sini hari ini bersempena dengan kemuncak sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2025.

Majlis berprestij itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Dewan Merdeka WTCKL kira-kira 12 tengah hari ini dan antara yang hadir ialah Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Dr Zaliha Mustafa serta Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Pengerusi Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Seri Wong Chun Wai, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin, serta Ketua Pengarang Bernama Arul Rajoo Durar Raj yang juga Pengarah Projek HAWANA 2025.

Antara organisasi media antarabangsa yang bersama-sama memeriahkan kemuncak sambutan ialah Al Jazeera, China Central Television (CCTV), Jiji Press, Kuwait News Agency (KUNA), Vietnam News Agency (VNA), The Jakarta Post, dan MediaCorp.

Bertemakan “Kewartawanan Era Baharu: Keseimbangan AI dan Etika”, perhimpunan terbesar pengamal media Malaysia itu dianjurkan oleh Kementerian Komunikasi menerusi Bernama sebagai agensi pelaksana.

Majlis kemuncak hari ini turut menyaksikan penyampaian Anugerah Khas HAWANA 2025 dan Anugerah HAWANA 2025 kepada tokoh wartawan sebagai penghargaan atas sumbangan mereka dalam bidang kewartawanan tanah air oleh Perdana Menteri.

Perdana Menteri juga akan menyampaikan sumbangan Tabung Kasih@HAWANA kepada tiga wartawan veteran yang diuji masalah kesihatan, sebagai simbol keprihatinan terhadap nasib warga media yang pernah mewarnai dunia kewartawanan negara.

Acara berprestij itu menyaksikan Perdana Menteri menyampaikan hadiah kepada pemenang pertandingan Pesta Pantun HAWANA-DBP 2025 yang berlangsung meriah pada 31 Mei lepas dengan pemenang membawa pulang wang tunai RM3,000 berserta piala dan sijil penghargaan.

Majlis berkenaan menjadi kemuncak kepada sambutan HAWANA 2025 yang berlangsung dari 13 hingga 15 Jun, menghimpunkan pelbagai program dan inisiatif khusus buat golongan media serta pakar industri media.

Sambutan HAWANA 2025 diteruskan dengan pelbagai pengisian bermakna antaranya termasuklah acara sukan media yang menampilkan elemen permainan tradisional, serta siri jelajah ke politeknik premier di Selangor, Perak dan Johor bagi menyemai minat generasi muda terhadap dunia kewartawanan dan media.

Selari dengan tema sambutan, satu tayangan Mini Dokumentari HAWANA yang dihasilkan oleh Bernama TV menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) akan turut dipertontonkan pada majlis kemuncak.

Sebelum itu, akan berlangsung Forum HAWANA 2025 di Dewan Tun Hussein Onn pada 9 pagi ini membincangkan topik “Malaysian Media Council: Regulator or Media Protector?”, disusuli sesi perkongsian teknologi bertajuk “AI & Media: Tool, Threat or Opportunity?”.

Forum anjuran bersama Bernama dan Institut Akhbar Malaysia (MPI) itu juga menjadi pentas penting kepada Jawatankuasa Protem Majlis Media Malaysia (MMM) menyuarakan pandangan mengenai hala tuju industri selepas kelulusan Rang Undang-Undang MMM 2024 di Parlimen, Februari lepas.

Sementara itu, di ruang legar Sunway Putra Mall masih berlangsung Karnival HAWANA 2025 yang memasuki hari kedua dengan pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya sesi bual santai bersama agensi, kuiz, persembahan artis jemputan, aktiviti mewarna, sesi temu mesra, selain forum dan bengkel berkaitan penulisan kreatif, fotografi, audio siar serta literasi media.

Bagi zon interaktif media, para pengunjung berpeluang merasai pengalaman dunia penyiaran secara langsung menerusi reruai pameran oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM), Media Prima Berhad, Astro dan TV AlHijrah.

Turut mencuri tumpuan ialah siaran lintas langsung dari Studio Mini HAWANA oleh Bernama TV, permainan interaktif “Breaking News” oleh Bernama Radio serta pameran Kempen Internet Selamat (KIS) anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional mengambil sempena penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan dan jasa pengamal media dan wartawan veteran dalam pembangunan negara dan bangsa.

HAWANA 2025 turut menerima sokongan dan kerjasama daripada hampir 100 rakan strategik