Your Title

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan seorang lelaki yang didakwa sebagai Datuk Paiman Shakimon yang dihukum penjara 13 tahun kerana menipu dan memalsukan dokumen adalah bukan ahli perniagaan itu, sebaliknya seorang warga Indonesia.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata pihak pendakwaan selaku pemohon gagal membuktikan keraguan munasabah bahawa Aldrin Pratama Widjaja, 65, yang juga ahli perniagaan, selaku responden adalah Paiman dalam prosiding inkuiri bagi mengenal pasti identiti Paiman.

Muhammad Jamil dalam penghakiman ringkasnya berkata berdasarkan kepada ketulenan pasport, Kedutaan Besar Republik Indonesia mengesahkan lelaki itu adalah Aldrin Pratama.

“Dokumen peribadi seperti kad pengenalan Republik Indonesia (kartu tanda penduduk), lesen memandu (dengan izin mengemudi) dan kad kebenaran pemegang senjata api (syarat izin kegunaan senjata api) adalah atas nama Aldrin Pratama,” kata hakim itu.

Beliau berkata spesimen cap ibu jari yang dibekalkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menyatakan ia hampir sepadan atas nama Paiman Bin Shakimon.

“Pada pandangan saya, hasil proses carian sepatutnya dinyatakan sepadan atau tidak sepadan. Hampir sepadan menunjukkan hasil proses carian itu tidak konklusif, yang terdapat keraguan cap ibu jari itu milik Paiman Bin Shakimon,” katanya.

Selain itu, Muhammad Jamil berkata laporan semakan daripada JPN terhadap nombor kad pengenalan mendapati terdapat percanggahan mengenai butiran iaitu tarikh lahir, yang tarikh lahir pada kad pengenalan Aldrin Pratama menyatakan 1 Jun 1960, manakala Paiman 23 Mac 1959.

“Mengapa pihak pendakwaan tidak pernah menjelaskan tentang percanggahan tersebut. Jika pendakwaan menyatakan Aldrin Pratama dan Paiman merujuk kepada orang yang sama iaitu Paiman, mengapa dia mempunyai tarikh lahir berbeza,” katanya.

Prosiding inkuiri telah berlangsung selama enam hari bermula 18 Sept tahun lepas, dengan pihak pendakwaan memanggil 13 saksi.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul manakala peguam Datuk Mohamad Hanafiah Zakaria dan Datuk Hisyam Teh Poh Teik mewakili Aldrin Pratama.

Pada 2 Dis 2021, Mahkamah Tinggi memerintahkan Paiman menjalani hukuman penjara 13 tahun bagi kesalahan menipu dan memalsukan dokumen, selepas mengekalkan keputusan Mahkamah Sesyen.

Paiman sebelum ini merayu terhadap sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen terhadapnya pada 2011, selepas beliau didapati bersalah atas empat pertuduhan menipu serta memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta.

Bagaimanapun ketika rayuannya ditetapkan untuk pendengaran di Mahkamah Tinggi, beliau telah menghilangkan diri dan pada 20 Julai 2012, mahkamah mengeluarkan waran tangkap manakala waran pemenjaraan terhadapnya dikeluarkan pada 11 Okt tahun sama, kerana gagal hadir pada prosiding rayuan.

Pada 2021, Paiman diberkas oleh pihak polis selepas didapati masuk ke Malaysia menggunakan pasport Indonesia dengan nama Aldrin Pratama Widjaja, dan hasil semakan menggunakan sistem biometrik cap jarinya di JPN menunjukkan beliau adalah Paiman bin Shakimon.

Bagaimanapun, Aldrin Pratama sehingga kini menafikan beliau adalah Paiman dan pada 2023, lelaki itu memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap waran tangkap serta waran pemenjaraan yang dikeluarkan terhadapnya.

Mahkamah Rayuan memerintahkan Mahkamah Tinggi menjalankan inkuiri bagi mengenal pasti identiti lelaki itu.

Paiman dihukum penjara 26 tahun oleh Mahkamah Sesyen pada 19 April 2011 selepas didapati bersalah menipu dan memalsukan dokumen membabitkan RM12 juta milik dua Datuk lain dalam satu kes penipuan pelaburan antara 2005 dan 2006.

Bagaimanapun, beliau hanya perlu menjalani hukuman penjara selama 13 tahun selepas Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh memerintahkan hukuman itu berjalan serentak.