KUALA LUMPUR: Kes penipuan pembelian dalam talian yang direkodkan awal tahun ini sehingga Isnin lepas, meningkat 36.9 peratus dengan 2,328 kes dicatatkan melibatkan kerugian berjumlah lebih RM19 juta.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Rohaimi Md Isa berkata sebanyak 1,700 kes dilaporkan, dengan kerugian RM13.66 juta direkodkan bagi tempoh sama pada tahun lepas.
“Polis menasihatkan masyarakat untuk sentiasa berwaspada semasa melakukan pembelian dalam talian dan berhati-hati dengan dengan tawaran terlalu menarik atau harga terlampau murah,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Rohaimi juga menasihatkan orang ramai melakukan pembelian melalui platform e-dagang mempunyai ciri keselamatan dan dipercayai sahaja, selain sentiasa menyemak ulasan serta komen pembeli lain dan memeriksa nombor akaun serta nombor telefon penjual di portal SemakMule.
Pada perkembangan lain, Rohaimi berkata pihaknya mengesan modus operandi sindiket penipuan dalam talian menggunakan poster sebuah platform e-dagang “Ramadan Bersama Shopee”.
Beliau berkata sindiket berkenaan akan mengubah suai poster itu dan meletakkan nombor telefon mangsa kononnya sebagai pemenang peraduan, sebelum menghubungi individu tersebut.
“Mangsa diarahkan mengaktifkan “shopeepaylater” untuk menebus hadiah kemenangan sebelum diarah mengimbas kod QR, menyebabkan wang dalam akaun berkurangan selepas melakukan imbasan.
“Setakat ini, satu laporan polis diterima di Selangor melibatkan kerugian RM3,006.03 bagi kes itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya.