• 2025-10-14 09:04 PM

MELAKA: Ketegangan geopolitik dunia menjadi antara faktor utama mengapa Malaysia menjadi pilihan ramai pelajar antarabangsa untuk menyambung pengajian terutamanya di peringkat pascasiswazah.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyatakan kualiti pendidikan yang ditawarkan Malaysia juga merupakan faktor penarik penting bagi pelajar antarabangsa.

“Dengan perkembangan geopolitik dunia yang berlaku pada hari ini, mereka memilih untuk datang ke sebelah Asia dan khususnya, mereka memilih beberapa negara yang mempunyai kualiti pendidikan yang tinggi.”

“Malaysia adalah antara negara yang dipilih, sebab itulah kita dapat melihat bagaimana saban tahun akan ada pertambahan permohonan untuk belajar di Malaysia,“ katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Meet and Greet with International Students in Malaysia 2025 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka di Banda Hilir.

Program tersebut dihadiri kira-kira 1,000 mahasiswa antarabangsa daripada 20 Universiti Awam dan Institut Pengajian Tinggi Swasta.

Zambry menegaskan kuota bagi mahasiswa tempatan untuk masuk ke mana-mana universiti dalam negara tidak akan dikorbankan walaupun kementerian menyasarkan kira-kira 250,000 pelajar antarabangsa menjelang 2030.

Beliau berkata terdapat kira-kira 155,000 pelajar antarabangsa sedang menyambung pengajian mereka dalam pelbagai bidang ketika ini.

“Saya ingin tegaskan kita tidak akan korbankan kualiti pendidikan kita dan kita tidak akan korbankan sama sekali pelajar-pelajar tempatan kita untuk mendapat tempat di universiti tempatan,“ katanya. – Bernama