PUTRAJAYA: Ketiadaan wakil pekerja dalam delegasi Malaysia ke Persidangan Buruh Antarabangsa ke-113 (ILC) di Geneva, Switzerland berpunca daripada ketiadaan barisan kepimpinan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) selaku organisasi induk kesatuan sekerja terbesar di Malaysia.

Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dalam kenyataan hari ini memaklumkan dakwaan bahawa kerajaan sengaja menyekat penyertaan wakil pekerja adalah tidak berasas, mengelirukan dan berniat jahat.

“Pada 21 Feb 2025, Mahkamah Rayuan telah mengarahkan agar MTUC melaksanakan pemilihan semula kepimpinan dalam tempoh 90 hari yang akan diuruskan oleh Jawatankuasa Bersama Khas (JBK).

“Pemilihan yang sepatutnya dijalankan Mei lepas telah ditangguhkan ke 10 Ogos ini dan menyebabkan MTUC tidak mempunyai kepimpinan yang sah bagi mewakili pekerja dalam mana-mana platform rasmi termasuk ILC,“ menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan JBK yang ditubuhkan khusus bagi mengendalikan proses pemilihan semula berkenaan tidak mempunyai mandat untuk membuat keputusan dasar atau mencalonkan wakil ke forum antarabangsa.

“Malah, pencalonan nama oleh JBK ke ILC adalah di luar bidang kuasa yang diberikan oleh mahkamah dan telah dibantah sendiri oleh beberapa ahli gabungan MTUC.

“KESUMA menegaskan bahawa pemilihan delegasi Malaysia ke ILC dibuat secara telus berpandukan garis panduan Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) serta telah mendapat nasihat perundangan daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) mengenai status semasa MTUC,” menurut kenyataan itu.

KESUMA memaklumkan kerajaan kekal komited kepada prinsip tripartisme dan mendukung hak penyertaan kesatuan sekerja yang sah dalam semua platform antarabangsa.

“KESUMA menyeru agar proses pemilihan semula MTUC diselesaikan segera demi menjaga maruah pergerakan kesatuan sekerja dan memastikan penyertaan lengkap Malaysia ke ILC tahun hadapan,“ menurut kenyataan itu.