• 2025-08-27 02:59 PM

KUALA LUMPUR: Isu ketirisan subsidi gas petroleum cecair (LPG) dan status kawasan hutan simpan yang telah nyah warta sejak 2018 dijangka menjadi antara fokus utama persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Seri Sh Mohmed Puzi Sh Ali (BN-Pekan) pada sesi soal jawab lisan akan mengemukakan soalan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berhubung statistik kes ketirisan serta penyelewengan subsidi LPG yang direkodkan setakat ini.

Beliau turut membangkitkan persoalan mengenai pelan mitigasi kementerian bagi memastikan pematuhan penggunaan tong gas bersubsidi dalam kalangan peniaga kecil yang berpotensi memberi kesan kepada harga barangan pengguna.

Sementara itu, Chong Zhemin (PH-Kampar) meminta penjelasan daripada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam berhubung jumlah kawasan hutan simpan yang telah nyah warta di Perak sejak 2018 hingga kini.

Isu berkaitan keselamatan jalan dibangkitkan Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang) yang ingin mengetahui perancangan jangka panjang Kementerian Kerja Raya bagi menangani kejadian runtuhan cerun dan lubang benam di laluan Gua Musang-Cameron Highlands serta cadangan pembinaan jajaran jalan baharu di kawasan berisiko tinggi.

Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) pula meminta Menteri Kesihatan menjelaskan mengenai pelaksanaan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) dan sistem Pengurusan Maklumat Penjagaan Pesakit Bersepadu (CCMS) di fasiliti kesihatan kerajaan serta keberkesanannya dalam meningkatkan kecekapan perkhidmatan.

Pada sesi sama, Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) meminta penjelasan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berkenaan penggunaan deposit sumber mineral negara sebagai aset strategik dalam rundingan diplomasi bagi mengurangkan kesan geopolitik terhadap perdagangan global.

Selain itu, Datuk Verdon Bahanda (GRS-Kudat) meminta penjelasan daripada Menteri Kerja Raya mengenai status semasa projek Lebuh Raya Pan-Borneo dari Kota Kinabalu ke Kudat, termasuk jangkaan tempoh siap sepenuhnya lebuh raya itu.

Selesai sesi soal jawab lisan, persidangan akan diteruskan dengan menyambung semula perbahasan bagi Rang Undang-undang (RUU) Pendaftaran Negara (Pindaan) 2025 diikuti pembentangan RUU bagi bacaan kali kedua, iaitu RUU Perolehan Kerja 2025, RUU Pembaharuan Semula Bandar 2025 dan RUU Pekerja Gig 2025.

Mesyuarat Dewan Rakyat kali ini yang bersidang selama 24 hari bermula 21 Julai lepas akan melabuhkan tirai pada Khamis ini. – Bernama