BANTING: Polis tidak menolak kemungkinan aktiviti pemprosesan sisa elektronik (e-sisa) haram yang diserbu menerusi Op Hazard di seluruh negara, mempunyai kaitan dengan sindiket jenayah terancang, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Beliau berkata walaupun siasatan menerusi Op Hazard itu dimulakan dengan Akta Senjata Api 1960, pihaknya menjangkakan akan menemukan sesuatu yang lebih besar.
“Polis sedang menyiasat kemungkinan wujud elemen jenayah terancang atau keselamatan negara. Saya serahkan kepada kepakaran pihak polis untuk menentukan arah siasatan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau premis memproses sisa elektronik haram di Teluk Panglima Garang di sini, hari ini yang menemukan hampir 50 tan kelongsong dan anak peluru serta peluru hidup ketika serbuan Op Hazard pada 15 Feb.
Saifuddin Nasution berkata siasatan berkenaan kes itu masih berjalan dan risikan yang dijalankan mendapati masih terdapat premis pemprosesan sisa elektronik yang beroperasi secara haram dan kini berada dalam perhatian pihak berkuasa.
“Saya telah menerima taklimat awal daripada Datuk Hussein Omar Khan (Ketua Polis Selangor) di Bukit Aman dua hari lepas dan siasatan menunjukkan perkembangan yang sangat meyakinkan.
“Namun, saya tidak akan mengumumkan sebarang penemuan buat masa ini supaya tidak mengganggu siasatan,” katanya.
Saifuddin Nasution turut memaklumkan polis juga sedang memburu seorang warga asing yang dipercayai merupakan seorang daripada pemilik syarikat pemprosesan sisa elektronik haram terbabit, selain mengesahkan nilai rampasan daripada operasi berterusan sejak tahun lepas itu dianggarkan mencecah RM3.9 bilion.
Beliau berkata undang-undang negara di bawah seliaan Jabatan Alam Sekitar hanya membenarkan pemprosesan sisa domestik dan lesen yang dikeluarkan adalah untuk memproses sumber sisa domestik sahaja.
“Saya difahamkan bahawa lebih 50 lesen telah diberikan kepada pengusaha yang beroperasi secara sah mengikut undang-undang.
“Namun, jika sumber sisa itu datang dari luar negara, ia tidak diperuntukkan dalam undang-undang, menjadikan aktiviti pemprosesan sisa elektronik seperti ini sebagai aktiviti haram,” katanya.