Your Title

SHAH ALAM: Sebuah kilang pemprosesan bahan kimia kitar semula di Taman Perindustrian Kapar Indah, Klang dekat sini terbakar sehingga menyebabkan berlaku beberapa letupan petang tadi.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar dalam kenyataan hari ini berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 4.23 petang.

Beliau berkata pasukan Hazmat (Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya) dari Balai Bomba dan Penyelamat Shah Alam turut digerakkan ke lokasi kejadian selepas pemeriksaan awal mendapati terdapat asap berwarna kuning yang memedihkan mata.

“Bagaimanapun Komander Operasi melaporkan pasukan Hazmat yang sampai ke lokasi kejadian membuat pengujian dan mendapati udara dalam keadaan normal.

“Bahan yang didapati terbakar adalah asid kitar semula. Terdapat sebuah lori tangki yang didapati hancur akibat letupan dan terbakar,” katanya.

Beliau berkata pasukan Hazmat masih membuat pemantauan di lokasi dan sedang menunggu pihak Jabatan Alam Sekitar untuk melakukan pemeriksaan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan mengesahkan kejadian berkenaan dengan siasatan awal mendapati letupan itu berpunca daripada bahan kimia yang disimpan di pekarangan kilang berkenaan.

Hussein bagaimanapun berkata setakat ini tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan.