PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini melancarkan Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas KKM 2023-2030 dan Pelan Tindakan Dementia 2023-2030.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kedua-dua pelan itu merupakan hala tuju perkhidmatan kesihatan warga emas hingga 2030.

Beliau berkata pelan tersebut mengariskan strategi pemerkasaan penjagaan kesihatan warga emas untuk kekal sihat dalam komuniti menerusi program pencegahan dan penjagaan diri serta melalui perkhidmatan kesihatan yang komprehensif berteraskan penjagaan berpusatkan pesakit (patient-centered care).

Selain itu, Dzulkefly berkata objektif lain termasuk perluasan kebolehcapaian perkhidmatan kesihatan primer kepada warga emas di klinik desa yang bermula sejak Julai 2019 dan sehingga Jun 2024, sebanyak 416 buah klinik desa telah terlibat.

“Pelan-pelan tindakan ini sekali gus memberikan hala tuju yang lebih jelas dan strategik dalam pelaksanaan perkhidmatan kesihatan yang lebih holistik dan berkesan melalui pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat,“ katanya pada majlis sambutan Hari Warga Emas peringkat KKM 2024, di sini hari ini.

Beliau berkata soal penjagaan kesihatan dan penggalakan agenda penuaan sihat merupakan tanggungjawab bersepadu segenap lapisan masyarakat dalam menghadapi cabaran transisi ke arah negara menua (aged nation) pada 2035.

Sambutan Hari Warga Emas tahun ini bertemakan ‘Sihat Madani Di Usia Emas’ memfokuskan kepada aktiviti promosi kepentingan penuaan sihat dan bermaruah yang perlu bermula dengan pencegahan penyakit terutamanya penyakit tidak berjangkit (NCD) sejak usia muda, serta pembudayaan hidup sihat melalui Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS).

Dzulkefly berkata selaras dengan hasrat tersebut, KKM sedang menambah baik Garis Panduan Pelaksanaan Kelab Warga Emas bagi kesemua 256 Kelab Warga Emas yang kini aktif di bawah kementerian.

Dijangka siap menjelang 2025, garis panduan itu antara lain bertujuan memperkasakan penjagaan kendiri kesihatan warga emas agar kebolehan berfungsi terus kekal dan kemerosotan dapat dilambatkan.

Malaysia dijangka mencapai status negara menua pada 2035 apabila 15 peratus daripada penduduk merupakan warga emas.

Open Two Websites with Image

Clickable Image