KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) akan melancarkan Operasi Selamat Paru-Paru (Op Selamat PaPa) bermula 1 Ogos ini sebagai langkah memperkukuh penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852), khususnya membabitkan rokok elektronik atau vape.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata operasi ini bukan sahaja bertujuan melindungi golongan lelaki sebagai perokok utama, tetapi juga wanita dan ahli keluarga yang terdedah kepada asap basi.
“Data Registri Kanser Kebangsaan menunjukkan sebanyak 8,091 kes kanser paru-paru direkodkan antara 2022 hingga 2023, melibatkan 5,251 lelaki dan 2,840 wanita,“ katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Saad (PN-Pokok Sena) berhubung pendirian KKM terhadap langkah beberapa kerajaan negeri yang menghentikan pengeluaran lesen perniagaan rokok elektronik dan vape.
Dzulkefly menyatakan sokongan terhadap enam kerajaan negeri yang tidak memperbaharui lesen penjualan vape.
Menjawab soalan tambahan Young Syefura Othman (PH-Bentong) mengenai isu dadah dalam vape, beliau berkata KKM sedang meneliti pengharaman segera sistem terbuka yang membolehkan cecair vape diubah suai dengan bahan terlarang.
“Bagi tempoh hingga Jun 2025, sebanyak 58 kertas siasatan dibuka dan hampir 70 peratus daripadanya didapati positif bahan terlarang seperti methamphetamine dan synthetic cannabinoids,“ jelasnya.
Dalam sidang media, Dzulkefly menegaskan KKM sedang mengkaji pengharaman penuh penggunaan dan penjualan vape, dengan mengambil kira faktor saintifik, kes EVALI, dan implikasi ekonomi. – Bernama