• 2025-07-31 05:40 PM

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menegaskan Kementerian Kerja Raya (KKR) perlu memastikan pelaksanaan Sistem Aliran Pantas Pelbagai Lorong (MLFF) tidak memberi implikasi kewangan kepada kerajaan dan pengguna.

Pengerusi PAC Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata langkah ini penting bagi mengelak isu seperti yang pernah dibangkitkan sebelum ini, di mana kerajaan terpaksa menanggung kos tambahan walaupun projek didakwa tiada implikasi kewangan.

“Setiap keputusan mengenai MLFF atau sistem lain perlu memberi manfaat dan meningkatkan keberkesanan mengatasi kesesakan trafik,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

PAC turut meminta KKR memaklumkan perkembangan pelaksanaan MLFF secara bertulis sebagai rujukan.

Selain itu, PAC menggesa peningkatan kecekapan kutipan tol sedia ada bagi mengurangkan kesesakan sebelum MLFF dilaksanakan.

Perkara ini antara syor dalam Penyata PAC berhubung tindakan susulan KKR dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengenai pengurusan projek MLFF yang dibentangkan semalam.

PAC juga membentangkan penyata berasingan mengenai tindakan susulan Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) berhubung pengurusan Akaun Belum Terima.

Bagi isu LHDN, Mas Ermieyati berkata PAC menyarankan penguatkuasaan undang-undang dipergiat dan penambahbaikan berterusan dilaksanakan.

“LHDN perlu mengurangkan risiko peningkatan Akaun Belum Terima dan rayuan pembayar cukai. Pemantauan berterusan juga diperlukan bagi memastikan pentaksiran cukai lebih efektif,“ jelasnya.

Mengenai pelaksanaan e-invois, PAC menyokong inisiatif kerajaan memberi tempoh persediaan secukupnya kepada peniaga mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).

“LHDN perlu beri sokongan dan panduan menyeluruh kepada pembayar cukai sepanjang tempoh persediaan e-Invois,“ katanya. – Bernama