KUALA LUMPUR: Badan bebas First Instance Body (FIB) telah meluluskan lesen kebangsaan kepada Kuala Lumpur City FC (KL City), Kelantan Darul Naim FC (KDN) dan PDRM FC bagi menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim baharu.

Pengerusi FIB Sheikh Mohd Nasir Sheikh Mohd Sharif berkata keputusan dibuat selepas ketiga-tiga kelab itu mengemukakan dokumen kewangan tambahan sebelum tarikh akhir yang ditetapkan pada 31 Mei tahun ini.

Beliau berkata syarat yang ditetapkan itu selaras dengan Artikel 8 (I) Pertauran Pelesenan Kelab Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

“Setelah meneliti dan menilai dokumen kewangan tambahan yang dikemukakan itu, FIB bersetuju untuk memberikan Lesen Kebangsaan penuh kepada ketiga-tiga kelab tersebut setelah mereka berjaya memenuhi segala keperluan pematuhan ditetapkan.

“FIB merakamkan penghargaan atas kerjasama diberikan serta komitmen tinggi pihak KL City, KDN dan PDRM sepanjang proses ini dan mengucapkan selamat maju jaya dalam saingan Liga Super bagi musim 2025-2026,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan MFL hari ini.

Sheikh Mohd Nasir memaklumkan FIB sebelum ini telah memberikan Lesen Kebangsaan kepada Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Selangor FC, Penang FC, Kuching City FC, Sabah FC, Terengganu FC, Sri Pahang FC, Negeri Sembilan FC.

Selain itu, beliau berkata dua kelab daripada saingan Liga A1 Semi Pro iaitu Melaka FC dan Imigresen FC berjaya mendapatkan lesen kebangsaan luar biasa.