PUTRAJAYA: Pengamal media berdaftar di bawah Jabatan Penerangan (JaPen) kini berpeluang menikmati diskaun 50 peratus bagi tiket penerbangan AirAsia ke destinasi ASEAN.
Tawaran ini terhad kepada pemegang Kad Perakuan Media (KPM) yang masih sah dan memenuhi syarat kelayakan.
Menurut soalan lazim (FAQ) JaPen, kod promosi boleh diperoleh dengan mengisi borang permohonan dan menghantarnya ke emel inisiatifmedia@inform.gov.my.
“Kod Promosi akan dihantar kepada pemohon dalam tempoh tiga hari bekerja,“ jelas kenyataan tersebut.
Setelah menerima kod, pemegang KPM boleh membuat tempahan melalui laman web AirAsia atau aplikasi rasmi syarikat.
Diskaun 50 peratus hanya terpakai pada tambang asas, tidak termasuk caj tambahan seperti bagasi, makanan, atau fi perkhidmatan lain.
Promosi ini terbuka kepada 12,000 tempat duduk terawal dan mesti ditebus sebelum 31 Disember 2025.
Tempoh penerbangan bermula 1 April hingga 6 September 2026, dengan pengecualian pada cuti umum dan cuti sekolah.
“Sebarang perubahan tarikh atau destinasi selepas tempahan tertakluk pada terma dan syarat AirAsia, dan mungkin dikenakan bayaran tambahan,“ menurut JaPen.
Bagi maklumat lanjut, pengamal media boleh menghubungi JaPen di talian 03-8911 7381 atau 03-8911 7382.
Inisiatif ini merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan AirAsia sempena Kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia. – Bernama