PUTRAJAYA: Isu membabitkan komponen mekanikal dan kekurangan tenaga pekerja mahir antara faktor berlakunya insiden masalah teknikal membabitkan pesawat syarikat penerbangan Malaysia Airlines Berhad (MAB) baru-baru ini.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata itu adalah dapatan siasatan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) ke atas MAB termasuk syarikat MAB Engineering Services (MABES) pada 24 hingga 28 Jun lepas.

Beliau berkata dapatan berkenaan turut dibentangkan pada mesyuarat Jemaah Menteri dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di sini hari ini.

“CAAM mendapati 63 orang daripada 411 pekerja MABES yang boleh memperakukan perihal selamat pesawat penerbangan telah berhenti dan berhijrah ke tempat lain,

“Ia berkemungkinan disebabkan tawaran gaji lumayan yang disediakan oleh syarikat penyelenggara lain,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Loke berkata susulan siasatan tersebut, MAB telah menyediakan pelan mitigasi antaranya meningkatkan tahap keselamatan pesawat ke tahap waspada bagi membolehkan fokus diberikan terhadap kebolehpercayaan pesawat.

“MAB akan melaksanakan program merekrut tenaga kerja mahir secara agresif, mengecilkan skop perkhidmatan penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) kepada pihak ketiga dan memberi fokus kepada kerja-kerja MRO pesawat MAB.

“Pelan mitigasi turut merangkumi usaha mendapatkan bekalan alat gantian enjin pesawat yang mencukupi daripada pengeluar enjin asal (OEM),” katanya.

Loke berkata MAB telah diarahkan untuk mengemukakan laporan bulanan terhadap status pelaksanaan pelan mitigasi kepada CAAM.

Berdasarkan siasatan CAAM ke atas syarikat MAB, tempoh pembaharuan Sijil Perakuan Pengendali Udara (AOC) akan dikurangkan daripada tiga tahun kepada satu tahun sahaja.

“Untuk makluman, mana-mana syarikat penerbangan harus melalui audit sebelum AOC diperbaharui. Tempoh AOC yang lebih pendek akan mewajibkan audit yang lebih kerap.

“Hal ini bagi memastikan MAB mengambil tindakan penambahbaikan sewajarnya sebagaimana pelan mitigasi yang telah dikemukakan oleh CAAM,” katanya.

Loke berkata CAAM akan meneruskan pemantauan dan menjalankan pengauditan keselamatan terhadap semua pesawat yang dimiliki oleh syarikat penerbangan yang beroperasi dalam negara dalam memastikan aspek keselamatan dan perihal selamat dipatuhi sewajarnya.

“Saya ingin menegaskan keperluan semua pemain industri penerbangan awam untuk mematuhi aspek keselamatan dan perihal selamat yang telah ditetapkan dan tidak akan berkompromi dalam perkara yang melibatkan keselamatan penumpang,” katanya.