TAMPIN: Komuniti MADANI diminta terus proaktif membantu kerajaan memberi maklumat yang tepat dan sahih kepada masyarakat setempat sekali gus mengukuhkan semangat perpaduan rakyat di negara ini.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata selain berperanan sebagai penghubung antara kerajaan dan rakyat, Komuniti MADANI juga merupakan jentera penting bagi mendapatkan maklum balas rakyat di peringkat akar umbi termasuk berhubung keperluan pembangunan untuk disampaikan kepada kerajaan.

“Jadi saya harap ahli komuniti bantu kerajaan terutama untuk jelaskan sesuatu isu kepada rakyat, sebagai contoh penyasaran subsidi diesel, ada masyarakat masih tak faham kita buat itu kerana isu ketirisan yang sangat serius.

“Kita perlu usaha Komuniti MADANI untuk mendidik dan menjelaskan kepada mereka. Selain itu, sokongan ahli komuniti juga diperlukan untuk menguar-uarkan pelbagai program kerajaan seperti hari ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program JIWA Komuniti MADANI di sini hari ini.

Teo berkata setakat ini terdapat 1,878 Komuniti MADANI di seluruh negara termasuk 108 di Negeri Sembilan dan mereka diberikan geran pentadbiran berjumlah RM3,000.

Sementara itu, beliau berkata program JIWA Komuniti MADANI ialah aktiviti turun padang dan sesi libat urus Jabatan Penerangan Malaysia (Japen) bagi menyantuni masyarakat setempat, menyebarkan maklumat, dasar dan inisiatif kerajaan selain menawarkan perkhidmatan berteraskan konsep Malaysia MADANI.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat untuk terus menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini dengan mengibarkan Jalur Gemilang di setiap rumah serta premis masing-masing.