KOTA BHARU: Penganjuran Konvensyen Pemantapan Perundangan dan Institusi Syariah (Konsis 2024), akan memberi kefahaman kepada semua pimpinan dan pegawai kerajaan terhadap usaha yang sedang dijalankan dalam memantapkan perundangan Syariah di Kelantan, dan menjadi ikutan kepada negeri lain untuk berdepan dengan cabaran pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohamed Fadzli Hassan berkata konvensyen itu penting untuk meneliti mana-mana peruntukan sedia ada, supaya ia bertepatan dan tidak bertentangan dengan perlembagaan di negara ini.

“Komitmen Kerajaan Negeri Kelantan terhadap pemantapan perundangan dan institusi Syariah, diterjemahkan melalui tindakan segera pasca pembatalan 16 Seksyen, dengan jangkaan suatu resolusi yang akan diambil tanggungjawab secara bersama dalam bentuk tindakan, sebelum dibentangkan semula pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) akhir tahun ini,” katanya pada sidang media di Kota Darulnaim, di sini, hari ini.

Mohamed Fazli berkata konvensyen ini, melibatkan tokoh penting pengamal undang-undang sivil dan syariah, serta tenaga akademik dalam bidang perundangan di universiti.

Beliau berkata golongan profesional bidang perundangan yang dijemput, akan membentangkan kerangka kajian masing-masing terhadap kuasa negeri berdasarkan undang-undang tubuh, post-mortem terhadap penggubalan 16 Seksyen yang dibatalkan dan cadangan langkah pemantapan Enakmen Kanun Jenayah Syariah, serta institusi penguatkuasaan undang-undang Syariah di Kelantan pasca pembatalan 16 Seksyen.

Konsis 2024 akan diberlangsung pada 21 Mei, di Dewan Besar Sultan Ismail Petra, Balai Islam Lundang, di sini bermula 8.30 pagi, melibatkan tiga pembentangan kertas iaitu Kompetensi DUN berdasarkan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Kelantan, Roh Penggubalan 16 Seksyen yang dibatalkan dan Langkah Pemantapan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 dan Institusi Penguatkuasaan Undang-undang Syariah di Kelantan.