• 2025-08-18 05:08 PM

SEREMBAN: Seorang anggota polis maut selepas motosikal yang ditunggangnya dilanggar sebuah kereta dipercayai dipandu dalam keadaan mabuk.

Kejadian berlaku di Jalan Temiang berhampiran Sekolah Kebangsaan Temiang awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban ACP Mohamad Hatta Che Din mengesahkan kejadian itu berlaku pada 1.01 pagi.

Mangsa, seorang konstabel berusia 23 tahun, bertugas di Balai Polis Jalan Campbell.

Beliau mengalami kecederaan parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar.

“Siasatan awal mendapati mangsa menunggang motosikal Honda EX5 dari Seremban ke Temiang sebelum dilanggar Perodua Bezza,” kata Mohamad Hatta.

Pemandu kereta berusia 26 tahun itu hilang kawalan dan memasuki laluan motosikal mangsa.

“Pemandu mengalami kecederaan ringan dan disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol,” jelasnya.

Sampel darah pemandu telah diambil untuk ujian lanjut di Jabatan Kimia.

Suspek direman enam hari bagi membantu siasatan kes ini.

Polis meminta sesiapa yang mempunyai maklumat menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohd Shahrizan Khairi.

Kes disiasat mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 - Bernama