SHAH ALAM: Seorang kontraktor didenda RM50,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memalsukan dokumen berkaitan kerja baik pulih sistem kapal kelas peronda milik Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), lima tahun lepas.
Hakim Datuk Mohd Nasir Nordin menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Zulham Shah Mohammad, 44, dan memerintahkannya dipenjara selama enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Tertuduh didakwa mengemukakan dokumen palsu bagi mengesahkan bahawa kerja-kerja pembaikan Remote Control System dan Monitoring Control System di Kapal KM Sugut oleh Subturbo Sdn Bhd telah siap, diuji dan diterima, sedangkan kerja-kerja tersebut masih belum disiapkan dan belum dilaksanakan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Kejuruteraan Maritim Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Tingkat 4-11, One IOI Square, IOI Resort, Putrajaya pada 6 Nov 2020.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman di bawah Seksyen 465 kanun sama, iaitu penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Terdahulu, peguam Aiman Abdul Rahman yang mewakili tertuduh, dalam rayuan mitigasi, memohon mahkamah mempertimbangkan jumlah denda yang telah dipersetujui iaitu sebanyak RM50,000.
“Pengakuan bersalah yang dibuat pada peringkat awal ini saya percaya telah menjimatkan masa banyak pihak. Ia juga disertai dengan elemen keinsafan dan tertuduh tidak akan mengulangi kesalahan sama,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Fariz Abdul Hamid, bagaimanapun memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan orang awam.
Sementara itu, di mahkamah sama, seorang pegawai kanan Maritim Malaysia, Muhamad Izuar Zainudin, 42, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersubahat dengan Zulham Shah dalam pemalsuan dokumen terbabit di tempat dan tarikh yang sama.
Beliau didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 kanun sama, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum dua tahun, denda, atau kedua-duanya.
Ahmad Fariz memohon mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM30,000 terhadap tertuduh, namun peguam Shahidah Muslimah Roslan yang mewakili Muhamad Izuar memohon jaminan rendah atas alasan anak guamnya telah memberikan kerjasama sepenuhnya sepanjang siasatan dijalankan.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 16 Julai depan untuk sebutan semula kes.