AFPAFP

SEOUL: Kerajaan Korea Selatan pada Khamis menyatakan akan mempertimbangkan semula pendiriannya mengenai bekalan senjata kepada Ukraine selepas Korea Utara dan Rusia menandatangani perjanjian yang melibatkan ikrar bersama untuk memberikan bantuan ketenteraan segera jika salah satu daripada mereka diserang.

Yonhap melaporkan bahawa Penasihat Keselamatan Negara Korea Selatan Chang Ho Jin juga melahirkan rasa kesal terhadap “perjanjian strategik komprehensif” yang ditandatangani semasa sidang kemuncak antara Presiden Rusia Vladimir Putin dan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un di Pyongyang pada Rabu.

“Kerajaan melahirkan kebimbangan serius dan mengutuk pemetraian perjanjian perkongsian strategik komprehensif antara Korea Utara dan Rusia, yang bertujuan untuk mengukuhkan kerjasama ketenteraan dan ekonomi bersama,“ kata Chang dalam sidang media di pejabat presiden.

Chang berkata sebarang kerjasama yang secara langsung atau tidak langsung membantu peningkatan ketenteraan Korea Utara adalah melanggar resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) dan akan tertakluk kepada pengawasan dan sekatan antarabangsa, serta berikrar untuk mengambil langkah-langkah yang sewajarnya.

“Kami merancang untuk mempertimbangkan semula isu sokongan senjata kepada Ukraine,“ kata Chang, mencadangkan perubahan dalam dasar Korea Selatan yang tidak memberikan bantuan senjata kepada Ukraine.

Seorang pegawai presiden berkata Korea Selatan akan mengekalkan kesamaran strategik mengenai jenis senjata yang akan dibekalkan.

“Langkah-langkah khusus akan didedahkan kemudian dan ia akan menjadi menarik untuk melihat bagaimana Rusia bertindak balas, daripada mendedahkan rancangan kami lebih awal,“ kata pegawai itu kepada pemberita.

Menurut Chang, Korea Selatan juga akan mengenakan sekatan tambahan ke atas empat kapal, lima organisasi dan lapan individu yang terlibat dalam pemindahan senjata dan minyak antara Rusia dan Korea Utara.

Pada masa ini, terdapat 1,159 item yang tertakluk kepada kawalan eksport ke Rusia berikutan konflik Ukraine, dan Korea Selatan akan menambah 243 item baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 1,402 item di bawah sekatan.