MIRI: Seorang ahli perniagaan dari Miri mengalami kerugian sebanyak RM570,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan tidak wujud yang diiklankan melalui akaun Facebook.
Ketua Polis Daerah Miri ACP Mohd Farhan Lee Abdullah menyatakan mangsa berusia lewat 50-an telah menghubungi suspek selepas melihat iklan tersebut.
“Suspek menawarkan skim pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat,“ katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Farhan berkata mangsa telah membuat transaksi pemindahan wang secara berperingkat ke dalam akaun bank yang diberikan oleh suspek.
Mangsa sedar ditipu selepas gagal mengeluarkan keuntungan yang dijanjikan dan diminta untuk menjelaskan bayaran tambahan jika ingin mendapatkan pulangan.
Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana penipuan.
Mohd Farhan menasihatkan orang ramai supaya berwaspada dengan pelaburan dalam talian yang menjanjikan pulangan tinggi dalam masa singkat.
Beliau turut menggesa orang ramai membuat semakan terhadap syarikat atau laman web yang mencurigakan di portal semakmule.rmp.gov.my/bnm. – Bernama