KUANTAN: Koperasi Serbausaha Makmur Berhad (Kosma) mula mengagihkan dividen berjumlah RM32.538 juta bagi tahun kewangan 2024 kepada 1,495 ahlinya hari ini.
Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata bagi nilai unit ladang yang telah dibayar adalah sebanyak RM23.97 juta, menjadikan jumlah keseluruhan pembayaran dividen unit ladang dan saham RM56.508 juta.
“Bagi tahun kewangan 2024, pendapatan keseluruhan Kosma yang telah diaudit mencatatkan jumlah RM290.79 juta manakala keuntungan bersih direkodkan sebanyak RM132.77 juta,” katanya ketika sidang media pengumuman dividen saham Kosma 2024 di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, di sini hari ini.
Beliau berkata pembayaran dividen itu mencerminkan kecekapan, keberkesanan serta pulangan pelaburan yang mampan hasil daripada pengurusan koperasi tersebut.
“Saya percaya bahawa pengagihan dividen ini akan terus memperkukuh kesejahteraan ahli, kakitangan, warga koperasi dan seluruh rakyat Malaysia. Kejayaan Kosma ini tidak datang begitu sahaja, tetapi datang dengan usaha gigih dan konsisten setiap jenteranya,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Wan Rosdy berkata kerajaan negeri berjaya merekodkan kutipan hasil melebihi RM700 juta setakat semalam.
Beliau optimis bahawa Pahang mampu mencapai kutipan hasil melebihi RM1 bilion sekali lagi tahun ini, selepas mencatatkan pencapaian berkenaan selama tiga tahun berturut-turut sejak 2022.
Menurut beliau, kerajaan negeri juga berjaya mengurangkan bebanan hutang daripada RM3.2 bilion kepada RM900 juta melalui pelaksanaan pengurusan kewangan yang berhemat.
“Kita urus ketirisan dan kebocoran, kita berbelanja secara berhemat. Prinsip kita ialah ‘belanja jangan boros, berjimat jangan sampai kedekut’,” katanya- BERNAMA