KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan beberapa kelemahan dalam pelaksanaan program minyak masak bersubsidi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Antara isu utama ialah penjualan melebihi had, ketiadaan sijil halal, dan pengurusan minyak rosak yang tidak teratur.
Menurut laporan tersebut, “Dasar sedia ada tidak menetapkan agihan minyak masak kepada golongan sasaran yang memerlukan, menyebabkan warga asing turut mendapat faedah subsidi.”
Sebanyak 55,167 kilogram (kg) minyak subsidi telah dijual kepada pihak tidak layak seperti kedai makan dan restoran, melanggar peraturan SOP Program Skim Penstabilan Harga Minyak Masak (COSS).
Selain itu, audit mendapati 713,442 kg minyak dijual melebihi had pembelian tiga peket bagi setiap transaksi. Harga jualan juga melebihi harga kawalan RM2.50, dengan beberapa peruncit mengenakan harga antara RM2.60 hingga RM4.00 sepeket.
Laporan itu turut menyatakan, “Sembilan atau 12.5 peratus daripada 72 sampel syarikat pembungkus tidak memiliki pensijilan halal, manakala enam syarikat mencetak logo halal tanpa kelulusan.”
Kelemahan lain termasuk pengurusan minyak rosak yang tidak terkawal, dengan dua syarikat didapati menyimpan 942 kg minyak rosak untuk dijual semula.
KPDN disyorkan untuk menyemak dan menambah baik SOP COSS, termasuk memperkenalkan sistem digital seperti eCOSS bagi pemantauan masa nyata. Audit juga mencadangkan penguatkuasaan lebih ketat, seperti penggantungan lesen terhadap pelanggar peraturan dan pemantauan harga secara agresif bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).
“KPDN perlu mewajibkan pensijilan halal untuk semua syarikat pembungkus dan mengambil tindakan undang-undang terhadap penggunaan logo halal palsu,“ menurut laporan tersebut.
Cadangan lain termasuk pelaksanaan Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) untuk memastikan subsidi hanya sampai kepada golongan yang benar-benar memerlukan. - Bernama