• 2025-10-07 05:46 PM

JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor menerima sebanyak 10 kes membabitkan kenderaan pendaftaran asing menggunakan petrol bersubsidi RON95 setakat awal Januari sehingga hari ini.

Pengarah KPDN Johor Lilis Saslinda Pornomo berkata tiga daripadanya dikesan berlaku sejak inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) dilaksanakan.

Beliau berkata secara keseluruhan sebanyak tujuh kes diterima di daerah Johor Bahru dan masing-masing satu di Kota Tinggi, Pontian dan Segamat.

“Kesemua kes telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,“ katanya pada sidang media selepas Program Hari Bertemu Pelanggan Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) Peringkat Negeri Johor di sini hari ini.

Beliau berkata pihaknya memandang serius kes berkenaan dan siasatan dilakukan dengan segera sebaik laporan diterima.

“Untuk maklumat semua, mana-mana aduan termasuk yang sudah tular kami beri perhatian serius,“ katanya.

“Kami akan pastikan adakah berlaku pelanggaran dan pegawai akan melakukan siasatan lanjut,“ tambahnya.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda memberi peringatan kepada pengusaha stesen minyak supaya lebih cakna dan sensitif agar isu kenderaan berpendaftaran asing menggunakan petrol RON95 tidak lagi berulang.

Beliau berkata isu berkenaan sentiasa ditekankan menerusi pelbagai sesi libat urus yang telah dilakukan bersama pengusaha stesen minyak sebelum ini.

“Kalau mereka mengatakan mungkin ada kru terlepas pandang, itu kena pastikan tidak lagi berulang,“ katanya.

Justeru, beliau berkata sesi libat urus bersama pelbagai agensi dan jabatan dalam usaha mengatasi isu itu termasuk memasang notis larangan di pintu sempadan pada masa hadapan. – Bernama