KOTA BHARU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan mematahkan cubaan menyeludup 550 liter minyak petrol di Kampung Pak Keral, Tumpat, semalam.

Pengarah KPDN Kelantan Azman Ismail berkata kejadian pada 5.50 petang itu dilakukan oleh pasukannya selepas menerima maklumat risikan mengenai sebuah kereta jenis Proton Preve dengan nombor plat pendaftaran tempatan disyaki membawa sejumlah tong plastik berisi petrol untuk diseludup ke negara jiran.

Beliau berkata ketika KPDN sedang menjalankan pemeriksaan, pemandu kereta itu secara tiba-tiba memecut laju ke arah Kampung Bunohan sehingga hilang kawalan dan melanggar sebatang pokok setelah suspek diekori penguat kuasa sejauh tujuh kilometer dalam tempoh 10 minit.

“Suspek melarikan diri ke arah sawah padi dan gagal dikesan.

“Pihak kami berjaya menemui sejumlah tong plastik mengandungi 550 liter petrol di tempat duduk penumpang dan bahagian belakang yang dianggarkan bernilai RM1,127.50,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata nilai keseluruhan rampasan termasuk kereta adalah RM16,127.50 dan kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.