IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 2,000 liter minyak diesel yang disimpan tanpa permit dalam satu serbuan di tapak pembinaan di mukim Belanja dalam daerah Kinta, semalam.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata serbuan pada 11 pagi itu dilakukan oleh sepasukan pegawai serta anggota penguat kuasa dan rampasan dianggarkan bernilai RM6,450.

“Semasa pemeriksaan, pihak kita berjaya menemukan minyak diesel yang disimpan dalam dua kontena pukal pertengahan (IBC).

“Seorang warga tempatan berusia 29 tahun yang mengaku pengurus di tapak pembinaan itu gagal mengemukakan sebarang permit atau surat kebenaran menyimpan bekalan diesel berkenaan,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin berkata kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961, jika sabit kesalahan, individu yang terlibat boleh didenda hingga RM1 juta atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

“Bagi kesalahan berikutnya denda boleh meningkat hingga RM3 juta, manakala bagi syarikat, denda boleh mencecah RM2 juta bagi kesalahan pertama dan RM5 juta bagi kesalahan berikutnya,” katanya.