IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak merampas 81,000 kilogram (kg) baja bernilai RM197,489 dalam serbuan di sebuah gudang penyimpanan tidak berlesen di pekan Langkap, dekat Teluk Intan, semalam.
Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata 1,621 guni baja kimia pelbagai jenama itu dirampas dalam serbuan oleh penguat kuasa KPDN Cawangan Teluk Intan pada kira-kira 4 petang, hasil risikan sejak seminggu lepas.
Beliau berkata pihaknya turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun yang merupakan pemilik gudang itu.
“Siasatan awal mendapati gudang itu tidak mempunyai permit dan lesen untuk menyimpan barangan kawalan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.
“Pemilik gudang juga gagal mengemukakan sebarang surat kebenaran, lesen atau permit menyimpan barang kawalan daripada Pengawal Bekalan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kamalludin berkata pihaknya menyita semua baja terbabit serta dokumen berkaitan, dan membuka kertas siasatan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.