IPOH: Sebuah premis disyaki menyimpan dan menjual barangan tiruan di Desa Rishah Indah dekat sini diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak, pagi semalam.
Pengarah KPDN Perak Datuk Kamalludin Ismail berkata hasil serbuan tersebut berjaya menemukan dan kemudian menyita sejumlah 10,997 pasang kasut, selipar dan stoking jenama terkenal dianggarkan bernilai RM135,500.
“Wakil pemilik cap dagang telah hadir dan melakukan pengesahan awal ke atas barangan terbabit dan disyaki premis terbabit telah melakukan kesalahan di bawah Akta Cap Dagangan 2019,“ katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Katanya, barangan yang disyaki tiruan itu terdiri daripada barangan sukan diperoleh dari negara luar kemudian dijual secara borong melalui platform e-dagang.
Tambah beliau, pihaknya juga telah menahan seorang lelaki warga tempatan yang mengaku sebagai pengurus syarikat berkenaan.
“Kes terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 102(1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam jagaan atau kawalannya bagi maksud perdagangan apa-apa barang yang suatu cap dagangan berdaftar dipakaikan dengan salah,” katanya.