BUTTERWORTH: Seramai 173 pegawai penguat kuasa dan 60 pegawai pemantau harga ditempatkan di seluruh Pulau Pinang sepanjang tempoh pelaksanaan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Deepavali 2025.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup negeri S. Jegan berkata kesemua pegawai berkenaan ditempatkan di lokasi strategik seperti pasar awam, pasar tani dan pusat beli-belah untuk melindungi pengguna daripada peniaga tidak beretika.
Beliau menasihatkan semua pihak agar mematuhi harga yang ditetapkan serta menggunakan label merah jambu bagi barangan kawalan.
Tindakan akan diambil terhadap mana-mana peniaga sekiranya didapati gagal mematuhi peraturan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.
SHMMP dilaksanakan bermula hari ini hingga 22 Oktober melibatkan sembilan jenis barangan keperluan perayaan.
Barangan tersebut termasuk daging kambing biri-biri bertulang import, tomato, cili merah, bawang merah kecil India, bawang merah kecil India jenis ros, bawang merah besar import, kacang dal Australia, kelapa biji peringkat borong dan kelapa parut peringkat runcit.
Pelaksanaan skim ini bertujuan memastikan kestabilan harga barangan keperluan pengguna sepanjang musim perayaan.
Ia juga bertujuan mengelakkan sebarang kenaikan harga tidak munasabah oleh peniaga.
Sebanyak 77 kes telah diambil tindakan oleh KPDN hasil pemeriksaan 63,939 premis perniagaan di seluruh Pulau Pinang sepanjang tahun ini.
Kes tersebut melibatkan sitaan keseluruhan berjumlah RM2.985 juta serta kompaun RM386,400.
Dari 1 Januari hingga 15 Oktober lepas, sebanyak 931 aduan berkaitan harga barangan dan perkhidmatan telah diterima.
Seramai 170 aduan pula berkaitan bekalan barang kawalan dan 984 lagi membabitkan aduan lain. – Bernama