• 2025-07-18 04:26 PM

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor telah mengeluarkan 120 notis pengesahan maklumat kepada peniaga di seluruh negeri susulan pelaksanaan peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai lalu.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDN negeri, Mohd Hanizam Kechek, berkata notis itu dikeluarkan di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011 menerusi Op Kesan 4.0.

“Pemeriksaan melibatkan 416 unit simpanan stok (SKU) termasuk barangan basah dan makanan dalam tin,“ jelasnya.

Premis yang diperiksa terdiri daripada 13 pemborong dan 107 peruncit, termasuk kedai runcit, pasar awam, dan pasar raya. Kawasan terlibat merangkumi Shah Alam (29 premis), Petaling Jaya (20), Kajang (16), Kuala Selangor (11), Sepang dan Gombak (masing-masing 15), serta Kuala Kubu Baharu (14).

Mohd Hanizam menegaskan pemantauan berterusan bagi memastikan tiada kenaikan harga tidak wajar bagi barangan keperluan asas yang dikecualikan SST.

“Tiada aduan rasmi kenaikan harga diterima setakat ini, kecuali isu tanda harga yang sedang ditangani,“ katanya.

Di Perlis, KPDN negeri turut mengeluarkan 27 notis pengesahan maklumat kepada peniaga.

Pengarahnya, Rohaida Hassan, berkata peniaga diberi tempoh empat hari bekerja untuk mengemukakan maklumat lanjut.

“Operasi ini melibatkan 119 SKU bagi memantau aktiviti pencatutan,“ ujarnya.

Tindakan tegas akan diambil sekiranya terdapat pelanggaran, termasuk denda sehingga RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi individu, dan RM500,000 bagi syarikat. - Bernama