• 2025-07-18 09:07 PM

TANJONG MALIM: Reaktor hidrogen pepejal pertama di Malaysia, HyPEReactor, telah dilancarkan di Perkampungan Orang Asli (POS) Tibang hari ini.

Pelancaran ini menandakan langkah penting dalam menyediakan tenaga elektrik bersih dan selamat kepada komuniti luar bandar yang kurang mendapat perhatian.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang, berkata teknologi ini bukan sahaja stabil dan selamat tetapi juga mesra alam tanpa menghasilkan pencemaran bunyi atau bau seperti penggunaan genset biasa.

“Ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam memastikan pembangunan teknologi hijau yang lestari dan memberi manfaat kepada rakyat, termasuk di kawasan terpencil,“ katanya.

Sistem HyPEReactor mampu menghasilkan lima kilowatt tenaga elektrik, cukup untuk menampung keperluan 10 hingga 12 rumah.

Buat masa ini, reaktor ini digunakan untuk membekalkan elektrik di bangunan gereja Pos Tibang bagi kegunaan kira-kira 260 penduduk.

Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad (NMB), Dr. Rezal Khairi Ahmad, menjelaskan bahawa bahan utama sistem ini ialah natrium borohidrida, sejenis garam yang menghasilkan hidrogen pada tekanan rendah.

“Ia boleh dikitar semula dan sesuai untuk kawasan luar grid atau yang mempunyai sambungan terhad,“ katanya.

Pelancaran ini juga dijangka membuka peluang pekerjaan dalam bidang STEM serta menyokong dasar tenaga bersih negara. - Bernama