JOHOR BAHRU: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) berjaya menggagalkan kegiatan penyelewengan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi dalam satu operasi di Ulu Tiram.
Serbuan itu dilakukan di sebuah stor penyimpanan haram yang disyaki menjadi pusat pemindahan LPG subsidi untuk dijual semula di pasaran gelap.
Pengarah KPDN Johor, Lilis Saslinda Pornomo, berkata operasi yang dijalankan bersama KPDN Putrajaya itu turut membawa kepada penahanan lima pekerja warga asing berusia antara 30 hingga 40 tahun.
“Pemeriksaan mendapati terdapat 1,357 tong LPG subsidi dengan kapasiti 14 kilogram setiap satu, bernilai RM280,000,“ katanya.
Menurut Lilis, premis itu dipercayai digunakan untuk aktiviti “decanting” iaitu memindahkan LPG bersubsidi ke dalam lori tangki sebelum dijual kepada sektor industri atau pasaran gelap pada harga yang jauh lebih tinggi.
“Kami juga menemui pelbagai peralatan yang digunakan untuk kegiatan haram ini,“ tambahnya.
Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961. Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan seumpama ini digalakkan membuat aduan melalui portal e-aduan@kpdn.gov.my, talian 1800-886-800, aplikasi Ez ADU KPDN, atau WhatsApp 019-8488000. - Bernama