TASEK GELUGOR: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan memperuntukkan sebanyak RM2.138 juta bagi membangunkan pelbagai projek berkaitan pertanian dan penternakan di empat Kampung Angkat MADANI di kawasan Tasek Gelugor.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pelbagai projek dilaksanakan merangkumi 112.3 hektar di Kampung Guar Petai, Kampung Labuh Banting, Kampung Tok Jawa dan Kampung Baru.
“Selalunya, satu kementerian satu kampung angkat MADANI, tapi KPKM ambil empat kampung di sini untuk dibangunkan dan peruntukan itu melibatkan sektor pertanian sebanyak RM1.878 juta manakala sektor penternakan RM260,514,“ katanya ketika ditemui selepas merasmikan Program Pemerkasaan Sektor Pertanian Kampung Guar Petai di Dewan Penempatan Banjir Kampung Labuh Banting.
Mohamad berkata empat kampung itu dipilih kerana ia adalah kampung kelahiran dan halamannya, sekali gus mahu terus memajukan kawasan berkenaan demi memberi nilai tambah kepada penduduk di situ.
Beliau berkata hasil pelaksanaan projek-projek itu akan meningkatkan keberkesanan sistem saliran dan pengairan, mengurangkan kerugian hasil akibat serangan perosak dan rumpai serta menambah baik kecekapan kerja pesawah melalui penggunaan mekanisasi moden.
“Bagi subsektor ternakan, sebanyak 10 penternak turut menerima bantuan infrastruktur ladang, baka ternakan, mesin, peralatan dan makanan ternakan dengan peruntukan RM260,514 bagi mengurangkan kos operasi dan meningkatkan daya saing.
“... manakala dalam industri hiliran, KPKM menyokong projek keusahawanan tempatan seperti Projek Ayunis Enterprise yang menghasilkan produk muruku dengan nilai jualan mencecah RM2.5 juta setahun dan Projek Dodol Dapur Kayu oleh Mohd Hafiz Ramli yang mengekalkan warisan resipi tradisional dengan jualan tahunan sekitar RM100,000,“ katanya.
Mohamad berkata inisiatif itu membuktikan kesungguhan kerajaan MADANI memperkukuh sektor pertanian di Pulau Pinang agar terus berdaya saing, selain menjamin keterjaminan makanan negara.
Beliau turut menyeru golongan muda untuk menyertai sektor agromakanan dengan memanfaatkan teknologi baharu seperti Internet Kebendaan, kecerdasan buatan, mekanisasi dan automasi selaras dengan Revolusi Industri 4.0.
“Pendigitalan dan pemodenan akan melonjakkan sektor agromakanan negara menjadi lebih kompetitif, efektif dan berdaya tahan.
Usaha ini bukan sahaja menjamin keterjaminan makanan negara, malah memberi pulangan lumayan kepada golongan sasar serta mengukuhkan sosioekonomi mereka,“ katanya.
Mohamad turut merakamkan penghargaan kepada kerajaan negeri, warga kerja KPKM dan semua pihak yang terlibat menjayakan program itu dan berharap kejayaan petani, pesawah, penternak serta nelayan Pulau Pinang menjadikan pertanian sebagai sektor yang terus menyumbang kepada keterjaminan makanan negara.
Beliau berkata sekuriti makanan terus menjadi agenda nasional yang diberi keutamaan oleh Kerajaan MADANI dalam menghadapi cabaran global bekalan makanan.
Keterjaminan makanan bukan sahaja memastikan bekalan yang mencukupi, selamat, berkhasiat dan berkualiti, malah menjadi tonggak kesejahteraan rakyat serta kestabilan negara.
Pelbagai program turut diadakan pada majlis itu antaranya pertandingan memancing, pertandingan memasak dan Jualan Rahmah MADANI kepada penduduk setempat. – Bernama