PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan mengadakan sesi libat urus memfokuskan kepada usaha memelihara alam sekitar dan untuk pelantikan sebagai rakan strategik Majlis Ekonomi Kitaran Negara bagi Sisa Pepejal (NCEC).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata kementerian komited dan terbuka membina jaringan kolaboratif bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan komuniti setempat bagi memperkasakan agenda perbandaran mampan secara bersama selaras dengan semangat Malaysia MADANI.
“Kita nak menggalakkan penglibatan semua NGO berbilang kaum dalam usaha menjadikan negara lebih mampan dan sejahtera, demi masa depan lebih hijau,“ katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Nga berkata pihaknya telah menerima komitmen daripada Persatuan Yayasan Taiwan Buddhist Tzu-Chi Malaysia (Tzu-Chi) untuk menggerakkan ribuan sukarelawan sempena Hari Cuci Malaysia yang dijadualkan pada 27 September.
Perkara itu dicapai selepas beliau menerima kunjungan hormat daripada delegasi Tzu-Chi yang diketuai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Tzu-Chi Kuala Lumpur dan Selangor di pejabatnya hari ini.
“KPKT berbesar hati menerima Tzu-Chi sebagai rakan strategik Hari Cuci Malaysia 2025 ... dan sekali gus mencipta sejarah baharu menarik 100,000 peserta dalam kempen gotong royong secara besar-besaran,“ katanya.
Dalam pertemuan itu, Nga turut dimaklumkan mengenai pelbagai inisiatif komuniti telah dan akan dilaksanakan seperti program bantuan kebajikan, aktiviti kitar semula, kempen kebersihan, serta sokongan kepada golongan rentan.
Tzu-Chi Malaysia yang mempunyai lebih 34,000 sukarelawan di seluruh negara ialah NGO yang aktif dalam melaksanakan kerja-kerja kemasyarakatan, bantuan kemanusiaan serta inisiatif kelestarian alam sekitar.