KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik segala cadangan dan teguran membina untuk penambahbaikan rang undang-undang Pembaharuan Semula Bandar (PSB).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata setiap saranan bernas wajar diambil kira bagi menjamin hak dan kepentingan semua pemilik asal rumah yang terlibat.
“Kerajaan sentiasa peka dan mengalu-alukan pandangan yang membina,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Bandar Mampan Kelas Dunia (WCSC) ke-16.
Beliau menegaskan kerajaan tidak mengalu-alukan pihak yang mengambil kesempatan untuk mencari modal politik dalam isu ini.
Perbahasan rang undang-undang PSB 2025 telah ditunda ke mesyuarat akan datang yang dijadualkan bermula 6 Oktober hingga 4 Disember.
Kerajaan MADANI komited memastikan setiap pembangunan semula melibatkan tujuh ikon warisan negara tidak mengenepikan nilai warisan.
“Kerajaan tahun ini sudah belanja RM700 juta untuk menghidupkan semula tujuh lambang kebanggaan negara kita,” jelas Nga.
Tujuh ikon tersebut termasuk Carcosa Seri Negara, Muzium Tekstil, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Pejabat Pos Lama Kuala Lumpur.
Projek-projek ini dijangka siap dengan wajah baharu menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.
Malaysia selaku Presiden Program Penempatan Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN-Habitat) bersedia belajar dan berkongsi dengan rakan sejawat di peringkat global.
Kerajaan berhasrat mengintegrasikan Agenda Perbandaran Baharu ke dalam proses Persidangan Para Pihak di bawah Konvensyen UNFCCC.
Agenda Perbandaran Baharu menawarkan rangka kerja komprehensif untuk menghubungkan aspirasi iklim global dengan transformasi di peringkat tempatan.
WCSC 2025 bertemakan Resilient Cities, Living Heritage menekankan aspek memperkukuh infrastruktur dan memelihara warisan.
“Jadikan persidangan ini sebagai seruan bersama supaya pembuat dasar menitiberatkan aspek ketahanan dan warisan,” ujar Nga.
Persidangan itu menumpukan pembinaan bandar lestari dengan menggabungkan ketahanan serta pemuliharaan warisan budaya. – Bernama