• 2025-09-04 04:44 PM

PUTRAJAYA: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah mengemukakan 13 cadangan inisiatif utama kepada Kementerian Kewangan sebagai persediaan untuk Belanjawan 2026.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan membentangkan belanjawan tersebut pada 10 Oktober ini.

Antara inisiatif utama di bawah Kesejahteraan MADANI ialah permohonan peruntukan sebanyak RM1 bilion untuk melaksanakan 10,000 projek kemudahan awam asas sepanjang tahun 2026.

Projek tersebut termasuk Taman MADANI, pasar awam, dewan orang ramai, sistem perparitan di kawasan perumahan serta pemasangan lampu jalan solar.

Inisiatif lain ialah Rumah Kasih MADANI dengan peruntukan RM200 juta untuk membaik pulih dan membina semula 10,000 rumah usang bagi membantu keluarga miskin bandar.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata Belanjawan 2026 merupakan peluang penting untuk merancakkan agenda Malaysia MADANI.

Beliau menekankan bahawa belanjawan ini harus berpaksikan rakyat dengan memperkukuh infrastruktur awam dan mengindahkan kawasan persekitaran.

“Kita mahu menyediakan ruang perniagaan yang kondusif bagi peniaga kecil serta membantu rakyat memiliki rumah pertama mereka dengan mudah pada kadar mampu milik,” katanya.

Semua inisiatif yang dikemukakan akan memanfaatkan jutaan rakyat dan dilaksanakan sepenuhnya pada tahun hadapan.

Nga bersama timbalannya Datuk Aiman Athirah Sabu telah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Kementerian Kewangan.

Turut hadir dalam pertemuan tersebut ialah Ketua Setiausaha KPKT Datuk M Nor Azman Taib dan Ketua Perbendaraan Negara Datuk Johan Merican serta Pengarah Belanjawan Negara Datuk Seri Ab Rahim Ab Rahman. – Bernama